Rabu, 3 Ogos 2011

5 Tip & Info


Lemon bukan sahaja mengenakkan makanan dan minuman tetapi boleh diguna sebagai bahan pembersih.
Guna Lemon Bersihkan Papan Pemotong

Sama ada anda menggunakan papan pemotong yang diperbuat daripada kayu atau plastik, anda boleh membersihkannya dengan lemon. Bagi papan pemotong kayu, gosok dengan hirisan lemon di bahagian yang kotor. Manakala untuk papan pemotong plastik, perah jus lemon dan gosok di permukaan yang kotor. Biarkan selama 20 minit sebelum dibilas dengan air bersih. Asid dalam jus lemon berkesan sebagai pembersih.

Cuka Sebagai Bahan Pencuci

Sabun memang sering digunakan untuk membersih di dapur. Sungguhpun begitu ada bahan lain yang boleh menggantikannya; cuka.

Cuka memang tahan dan lazimnya selalu disimpan lama kerana anda hanya menggunakan sedikit untuk memasak. Jika anda mempunyai banyak cuka berlebih, apa kata gunakannya sebagai bahan pembersih? Cuka berkesan digunakan untuk membersihkan kesan gris atau berminyak, contohnya permukaan serta celah-celah dapur masak atau penunu. Masukkan cuka dalam botol spray, sembur ditempat berminyak dan gosok bersih. Bukankah ini juga menjimatkan?

Selain cuka, anda juga boleh membuat bahan pembersih dengan mencampurkan sedikit bahan peluntur dengan air. Sungguhpun begitu, jangan campurkan bahan tersebut dengan air panas kerana bahan peluntur akan meluap dan hilang keberkesanannya.

Selain itu, jangan sesekali mencampurkan bahan peluntur dengan produk pembersih lain yang mengandungi amonia seperti bahan pembersih cermin.



Dapur yang bersih bukan sahaja sedap mata memandang, tetapi juga selamat daripada ancaman bakteria.

 
Sumber Bakteria

Tahu tak dari mana sumber bakteria yang memudaratkan seperti E. Coli, Salmonella, Staphylococcus dan sebagainya, paling mudah ditemui di dapur anda?

Jawapannya ialah di span pencuci dan kain pengelap! Itulah yang ditemui dalam kajian di Amerika.
Span pencuci dan kain pengelap yang basah menyediakan sumber kelembapan dan tempat yang gemar dihinggapi bakteria. Jadi pastikan setelah diguna, span pencuci dan kain itu dibersihkan dengan sabun dan dikeringkan.  Anda juga boleh membunuh bakteria itu dengan memanaskan kedua-duanya di dalam ketuhar gelombang mikro selama 60 saat.

Tepung Naik Sendiri

Tepung naik sendiri atau self raising flour boleh dibuat sendiri di rumah. Caranya mudah saja; campurkan satu cawan tepung gandum biasa dengan 1 1/2 sudu kecil serbuk penaik (baking powder) dan 1/2 sudu kecil garam.


Kismis hitam baik untuk otak.
Kismis

Kismis anggur hitam yang dikeringkan mengandungi kandungan gula yang tinggi. Antara jenis gula yang terkandung di dalam kismis adalah fruktosa dan glukosa. Gula ini dapat meningkatkan daya pemikiran otak, menajamkan memori dan menguatkan daya ingatan. Otak memerlukan gula untuk berfungsi dengan baik, dan kismis dapat menyediakan keperluan gula dalam kuantiti yang banyak dan cepat. Jadi, apa kata gunakan lebih kismis dalam masakan anda?

Udang Masak ala Nasi Kandar

Bahan-bahan:
600 gm udang besar - bersih dan tuskan
2 sudu besar cili kisar
3 cm halis - dikisar
1 labu bawang besar - dikisar
3 ulas bawang putih - dikisar
2 tangkai daun kari
1/2 cawan sup tomato
2 tangkai cili hijau - dibelah 2
2 tangkai daun bawang - dikerat 2 cm
4 ulas bawang besar - dipotong bulat
5 biji tomato - dipotong bulat
1 cawan bawang goreng
3/4 cawan minyak masak
Garam secukup rasa

Bahan-bahan Menumis:
1 labu bawang besar - dihiris
1 batang serai - dititik

Cara Menyediakan:
  1. Gaulkan udang dengan cili kisar kemudian masukkan ke dalam kuali. Tutup kuali dan jerang di atas api kecil sehingga naik wap (kira-kira 5 minit). Ketepikan.
  2. Panaskan minyak di dalam kuali yang berasingan dan masukkan bahan-bahan menumis. Kacau hingga bawang layu dan masukkan bahan-bahan kisar.
  3. Apabila berbau harum, masukkan tomato dan bawang besar yang dipotong bulat kemudian kacau hingga rata. Setelah tomato hancur, masukkan sup tomato dan udang bersama cilinya sekali. Biarkan mendidih.
  4. Bila pecah minyak, masukkan bawang goreng dan perlahankan api. Masukkan garam, cili hijau, daun bawang dan daun kari. Kacau hingga rata dan angkat.
 

Ayam Lada Hitam





Bahan-bahan:

1 ekor ayam - dibersih dan dipotong sederhana besar
2 ulas bawang putih - dikisar halus
1/2 cawan cuka
3 hiris limau nipis
3 cawan air
1 sudu kecil tepung jagung - dibancuh dengan sedikit air
1/2 cawan kicap cair
1/2 cawan kicap pekat
2 sudu kecil lada hitam - ditumbuk halus
1 sudu besar minyak untuk menumis
4 biji ubi kentang - dibersihkan, dipotong sederhana besar & direbus (tidak terlalu empuk)
Sedikit daun sup dan daun bawang
3 sudu besar minyak sapi
Beberapa tangkai cili kering - dipotong 3

Cara Menyediakan:
  1. Perap ayam semalaman bersama bawang putih, kicap cair, perahan air limau nipis dan cuka.
  2. Masukkan ayam dan air (separas ayam) dalam periuk.
  3. Campurkan kicap pekat dan lada hitam. Didihkan selama 20 minit.
  4. Masukkan 1/2 cawan air dan didihkan sekali lagi hingga kuahnya pekat.
  5. Sementara itu, cairkan minyak sapi dalam kuali, masukkan kentang dan cili kering seketika, kemudian masukkan ayam yang dididihkan.
  6. Akhir sekali masukkan tepung jagung yang dibancuh air.
  7. Setelah kuah pekat, hias dan hidangkan.

Daging Halia Daun Bawang

 Resepi ringkas dan senang. Selamat Mencuba

Bahan-bahan:
500 gm daging - potong nipis, gaul dengan sedikit tepung jagung & 2 sudu besar minyak bijian selama 1 minit
6 ulas bawang putih - cincang halus
1 labu bawang besar - potong dadu
1 biji kapsicum - potong dadu
5 cm halia muda - hiris nipis
3 tangkai daun bawang - potong 2 cm
2 sudu besar minyak bijan
3 sudu besar sos tiram
1 sudu kecil tepung jagung

Cara Menyediakan:
  1. Panaskan kuali dan tuangkan minyak. Goreng daging yang digaul dengan tepung dan minyak bijan hingga setengah masak. Angkat dan tuskan minyaknya.
  2. Dalam kuali lain, tumiskan bawang putih hingga kuning dan naik bau. Masukkan kapsicum, halia dan bawang besar.
  3. Tuangkan sos tiram, minyak bijan dan daging goreng. Gaul rata dan tuangkan sedikit air.
  4. Masukkan daun bawang dan bancuhan satu sudu tepung jagung dengan sedikit air bagi memekatkan kuah. Perisakan juga dengan garam.


  

Mengenai Saya

Foto saya
Dreaming is a wonderful moment